Isnin, 20 Disember 2010

BILA BERKATA...



Bila berkata.......
Bila bersuara.....
Bila bertanya.....
Bila mengadu....

Jawapannya sama...
jawapannya tiada
jawapannya tak dijangka....
jawapannya penyudah....
Akhirnya interaksi jadi noktah.

Bila berkata, jawapannya tiada masa
Bila bersuara, jawapannya menyergah
Bila bertanya, jawapannya naif sangatkah
Bila mengadu..jawapannya tiada berakah

Natijahnya....FOBIA

Nak berkata, takut jawapanya menyentuh rasa
Nak besuara, takut jawapannya menambah luka
Nak bertanya, takut jawapannya negatif
Nak mengadu, dah pasti tidak membantu

Natijahnya....boleh jadi bisu, lesu, malu....

Oleh itu amat perlu...
Kuat diri
Sibuk diri
Berdikari
Melabur diri
Serah diri
Bersuara bila perlu
Berkata hanya kepadaMU ya Ilahi

GELORA DI MONICA BAY/TELUK MAK NIK





18 Disember 2010
Pantai Monica terus membisu @ membatu,
walau gelora ombak menerjah, menghempas,
malah mengikis seluruh maya mekanikalnya.
Kesian Pantai Monica, destinasi rehlah yang permai,
menjadi sasau, menjadi gundah, menjadi sepi dan sunyi
bila monson timur laut membantainya.
Gelodak monson, menggempur ombak dengan ganas,
memukul pantai dengan lahap dan gelojoh
tanpa belas, tanpa kesihan, tanpa perikemanusiaan.
Gedeburnya mengaum, memamah mangsa
sebagai pemusnah pantai, tanpa siapa peduli.
Pantai Monica semakin parah, semakin sakit,
Hamparan pasir bersih memutih
menjadi sempit akibat terhakis.
gelora ombak monson terus membadai
pantainya yang pasrah,
berubah mengikut fitrah.

Jumaat, 10 Disember 2010

CUTI-cuti AQILAH & AMERAH 10

Setiap pasangan suami isteri, pasti mengimpikan agar dikurniakan anak-anak bukan sahaja sebagai penyeri rumah tangga malah terlebih tepat sebagai penyambung zuriat dan keturunan. Menyedari hakikat ibu bapa sebagai pemegang amanah, mereka harus memainkan peranan dengan baik dan konsisten, dalam mendidik anak anugerah Allah ini.

Banyak rujukan dari pelbagai jenis buku bagi memberi panduan kepada ibu bapa dalam menghadapi dunia keibubapaan. Bermula penjagaan bayi dalam kandungan, menamakan bayi dengan nama yang baik, panduan penjagaan bayi selepas dilahirkan sehingga bayi berusia akil baligh, serta panduan psikologi ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Banyak juga bengkel dan seminar-seminar diadakan untuk ibu bapa menangani konflik dalam penjagaan anak-anak. Pelbagai medium terutama medium berbentuk teknologi dan ciptaan moden diwujudkan bagi membantu ibu bapa memainkan peranan sebaiknya dalam usaha memanusiakan anak-anak mereka.







Al-Quran sendiri memainkan tanggungjawab yang besar dalam mengingatkan ibu bapa tentang peranan mereka mendidik anak. Begitu juga peranan anak terhadap ibu bapa serta hubungan baik sesama manusia.

cuti-cuti AQILAH & AMERAH 8





Rasulullah s.a.w pernah bersabda bermaksud;

"Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis tersebut memberi maksud seperti pepatah lama Melayu di atas iaitu ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Ini bermakna tugas ibu bapa bukan sahaja mendidik diri sendiri menjadi manusia yang baik, malah mendidik anak sejak di dalam kandungan sehingga ia lahir ke dunia.

cuti-cuti AQILAH & AMERAH 6





Nasihat-nasihat berguna Luqman Al-Hakim kepada anaknya ketika mereka sedang dalam sebuah perjalanan yang jauh, membentuk kemenjadian anaknya. Luqman Al-Hakim adalah seorang hamba yang miskin,

namun telah mengayakan anaknya dengan nasihat-nasihat yang berguna sehingga nasihat beliau diwahyukan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran dan menjadi sebahagian ilmu yang berguna kepada umat Islam hari ini.

cuti AKTIVITI AQILAH @ AMERAH 5







Membaca kisah Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu’man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. “Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya?". Jawab bapa Imam Abu Hanifah “Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan”.




Ini bermakna, bapa Imam Hanifah telah menyiapkan dirinya yang terbaik agar anak yang dilahirkan kelak mewarisi kebaikan dan akhlaknya.




Hal ini harus dipandang berat oleh ibu bapa masa kini yang beranggapan bahawa pertalian mereka dan anak-anak hanya atas dasar pertalian darah semata.Sebenarnya ia lebih dari itu.

Cuti - AKTIVITI AQILAH & AMERAH 4














Terlalu kerap kita mendengar ungkapan ‘anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya’. Begitu juga ungkapan lama seperti ‘bapa borek anak rintik’, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya´, ´bagaimana contoh begitulah ikutannyaannya´, ´bagaimana ditanam, begitulah buahnya´, ´bagaimana rupa begitulah bayangnya´, dan banyak lagi. Ungkapan pepatah dan peribahasa lama ini dengan jelas menyatakan bahawa bagaimana kita mendidik si kecil, begitulah nanti dewasanya si kecil dengan didikan kita.

Ungkapan itu juga menjelaskan betapa didikan yang pelbagai untuk anak-anak bakal memanusiakan mereka atau menjadikan mereka bukan manusia. Istilah memanusiakan anak-anak memerlukan kefahaman yang tinggi bukan sahaja dari sudut material malahan paling penting kefahaman dari aspek mental...'kemenjadian'

AKTIVITI AQILAH & AMERAH SOlehah 3







Membentuk manusia bukan dengan menghantarnya ke sekolah semata-mata. Setinggi atau selama mana manusia bersekolah, tidak akan mampu mengubah sikap buruknya jika akar umbinya iaitu iman tidak ditanam sedari kecil.




Malah sedari awal pembentukan manusia di dalam rahim ibu, manusia di sekelilingnya terutama ibu bapanya harus mencorak diri mereka dengan corak yang bermakna disulami dengan iman dan akal yang utuh.





Dengan demikian, generasi yang terlahir dan membesar kelak adalah generasi yang bermakna dan bermanfaat untuk bangsanya dan agamanya.

AKTIVITI AQILAH @ AMERAH SOLEhAH 2


Lawatan ke MAHA yang penuh dengan maklumat...pendedahan kepada kanak-kanak. banyak perkara dalam buku diterjemahkan dalam realiti. pengelaman pembelajaran yang baik untuk anak-anak.






Anak-anak umpama kain putih. Ibu bapa adalah pencoraknya.



Apabila anak-anak dewasa, mereka akan cuba mengubah atau menokok tambah corak yang telah dilakarkan.




Jika corak yang dilukis sedari awal oleh ibu bapa merupakan corak kelekaan, maka apabila si anak dewasa, corak kelekaan itu akan merugikan anak-anak




kecuali anak tersebut bijak berfikir dan mencorakkan sendiri kehidupan mereka dengan corak yang bermakna.






Adab makan/minum difahami dengan duduk, makan berkongsi, membawa barakah.








Beramai-ramai- mesti bersabar dan berbaris tunggu giliran.

FOTO-foto AKTIVITI AQILAH - AMERAH SOLEHAH 1



7 minggu bercuti panjang di penghujung tahun persekolahan, akan memeningkan ibu bapa bekerja khususnya untuk melaksanakan amanah mendidik anak-anak. Pemilihan Pengisian aktiviti pendidikan bermanfaat untuk anak-anak walaupun diswastakan dan memerlukan pelaburan modal ia adalah penting. Paparan foto-foto ini adalah untuk membantu cucunda Aqilah @ Amerah mencatat diari hariannya seperti yang dijadualkan oleh ummi mereka.

Sabtu, 4 Disember 2010

Takdir ....MULAnya GAH, akhirnya Mengah

Alhamdulillah, ABAH selamat kembali dari tanah suci dan menemukan dengan anak-anak cucu dalam keluarga yang besar....Alhamdulillah..masih diberi pinjam umur sehingga mencecah 84 tahun. Usia itu adalah umur senja, tidak dinafikan bagi kebanyakan orang, semakin meningkat usia, nikmat beransur-ansur ditarik oleh yang Maha Berkuasa dengan hikmahNYa. Nikmat kesihatan,diuji dengan kesakitan, ingatan diuji dengan kelupaan, ketenteraman diuji dengan kegelisahan, keberanian diuji dengan ketakutan.


Madrasah ibadah HAJI adalah JIHAD untuk menundukkan keegoan,menundukkan hawa nafsu,menundukkan keceluparan, menundukkan kebakhilan, menundukan keindividuan, di samping ujian ibadah yang menuntut kesesempurnaannya. Sudah tentu pilihan menjadi tetamu Allah ada pelbagai kategori, siapakah tetamu Allah yang paling dimuliakan, dan siapakan tetamu Allah sebagai tetamu biasa?? Semua manusia adalah sama, yang membezakan antara mereka ialah darjah keimanan mereka kepada Allah, darjah keikhlasan dan ketulusan mereka mengabdikan diri dengan beribadah kepada Allah,terutamanya di Tanah suci.

Semoga tetamu Allah pada musim haji 1431H kali ini, termasuk ayah ibu,telah dijemput menjadi tetamuNYA yang istimewa, dengan mendapat keampunan segala dosa, dikabulkan segala doa. Ujian kesakitan adalah ditakdirkan dengan semestinya ada hikmah sebaliknya, yang Allah sahaja yang mengetahuinya. Nikmat kesihatan boleh ditarik balik dengan tujuan untuk diinsafi bahawa kesihatan dan kesakitan itu semata-mata ditakdirkan kepada manusia. Kita mesti berusaha untuk mendapatkan takdir yang baik, dan berusaha untuk mengelakkan takdir yang buruk.Sesungguhnya kita perlu menyedari bahawa sakit yang paling sakit ialah sakit untuk menemui ajal....

IBU yang TERHARU dan SAYU


Alhamdulillah pada Rabu 30 November 2010, jam 1.30pm, Ibu, abah, Izi dan isterinya serta ibu mertuanya yang diterima menjadi Allah selamat kembali dengan selamatnya. Ibu seperti biasalah, wajahnya yang menunjukkan seribu kesyukuran dan rasa puas, tetap kaya dengan lilihan airmatanya. Gambaran terharu kerana hajat untuk menunaikan fardhu haji pada kali ini terkabul, mengheret orang lain juga terharu dan turut serta berlinang air mata.

Berjumpa semula dengan anak-anak cucu dengan cerita-cerita yang tak-tak habis untuk disampaikan apabila ditanya. Yang pasti, sifat-sifat kesabaran dan kecekalan serta iltizam dengan pegangan, merupakan kekuatannya.

Yang menonjol dan mengagumkan daripada apa yang disampaikan ialah tentang pengorbanan, kesabaran, kekentalan anakandanya IZi, yang bersungguh2 menunaikan janjinya untuk memabawa ayah ibu ke tanah suci Alhamdulillah

Pelbagai ragam dan kerenah dihadapi dengan penuh kesabaran, pengorbanan wang ringgit.Alhamdulillah, namun sebanyak mana sekalipun anak-anak membalas budi kepada orang tua, tak sama dengan pengorbanan mereka, melahirkan kita di dunia fana ini. Kerana merekalah kita boleh bernafas, memiliki apa yang kita ada kini dan kerana merekalah KITA semua berada di atas muka bumi ini. Bersamalah kita memikirkan untuk berkongsi menjaga dan mengembirakan mereka, semasa mereka masih berada bersama kita. Hujung usia, kita semua tidak tahu bila penamatnya. Entah-entah yang lebih muda usia, mendahului yang lebih berusia.KITa semua mesti bersedia menghadapinya dengan pengakhiran Husnul Khatimah...

Rabu, 1 Disember 2010

Sehari di Hospital Serdang, Sepetang di Hospital An-Nur


Ditakdirkan pada hari ini,1 Disember 2010 untuk datang memenuhi temujanji dengan pakar Orthopedik, di Hospital Serdang, akibat masalah tulang, lutut dan kepayahan untuk berjalan secara tiba-tiba sebelum ini. Sengaja memilih Hospital Awam, untuk menelusuri berbagai kepayahan, kesesakan dan karenah pelanggan di Hospital itu khususnya dan yang dialami oleh para pesakit di Hospital awam yang lain. Memahami, tempoh masa 'lama' untuk menunggu di beberapa unit yang ditetapkan, bekalan buku untuk bacaan dan kamera untuk merakam beberapa foto dibawa bersama. Masa untuk datang 30 minit awal sebelum temujanji pukul 10.30 am dipenuhi. Pukul 9.40 am tiba dan bermulalah proses pendaftaran, hampir dua jam menunggu, baru dapat jumpa doktor yang 'ditemujanjikan', proses x-ray memakan masa lagi, kemudian tunggu pula untuk buat temujanji fesiotheraphy/'pemulihan'..sehingga pukul 3.00pm. Sabar ajelah... dan rasa jeran pula nak pergi memenuhi temujanji kali kedua dalam masa tiga bulan akan datang.
,
Hanya jejak kaki sebentar di rumah terpaksa bergegas pula ke Hospital An-Nur, untuk ziarah abah yang "direhatkan" di situ sekembalinya dari Mekah al Mukarrammah. selain ambilkesempatan menghadiri program mingguan di hospital itu, berada bersama ayah dan ibu, serta adik beradik lain sehingga melewati pukul 10 malam adalah satu kebahgian, walaupun kepenatan menghimpit badan. Semoga ibu cepat "kebah" semoga abah tidak mudah "rebah"