Perkembangan mutakhir mengenai gejala sosial dan jenayah yang membabitkan khususnya generasi muda hari ini, menjadi pencetus kepada lima (5) penegasan Wanita JIM seperti yang disenaraikan di bawah :
1. Ibu bekerjaya mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jatidiri setiap ahli keluarga terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu (dan juga bapa) dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.
2. Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami yang tidak lagi sepatutnya berada di takuk peranan sterotaip yang tradisional. Suami kepada seorang isteri yang bekerjaya harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Bagi ibu tunggal yang bekerjaya, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.
3. Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membentengi manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.
4. Para majikan mestilah sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Majikan yang menjaga kebajikan pekerja mereka, khususnya yang berkaitan dengan keluarga, akan diganjari dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi di kalangan pekerja yang seterusnya membuahkan produktiviti dan daya saing yang tinggi.
5. Barisan kepimpinan yang baru mengambil alih pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan paling tinggi kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing. Usaha yang serius, bersepadu dan konsisten membenteras permasalahan kronik ini hingga ke akar umbinya, mestilah dimulakan di peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara, agar segala polisi dan peraturan yang dibentuk selaras dan sejajar dengan nilai kepentingan institusi kekeluargaan. Pendek kata, sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada keluarga mestilah digantikan dengan polisi yang lebih bersifat mengawal dan mengekalkan keutuhan keluarga.
Ayuh segera letakkan keutamaan kepada institusi kekeluargaan sebelum terlambat! Sudah terlalu banyak indikator atau petunjuk dalam masyarakat kita hari ini yang membayangkan institusi kekeluargaan sebenarnya berada di ambang bahaya dan terancam.
Sempena Hari Ibu 2009, ayuh pastikan keluarga tidak akan kehilangan wanitanya dan wanita juga tidak akan mensia-siakan penghormatan menjadi tonggak keluarganya sebagai satu anugerah yang amat berharga dari Allah SWT!
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Tiada ulasan:
Catat Ulasan