Jumaat, 8 Mei 2009

IBU - wanita berkerjaya

Perkembangan mutakhir mengenai gejala sosial dan jenayah yang membabitkan khususnya generasi muda hari ini, menjadi pencetus kepada lima (5) penegasan Wanita JIM seperti yang disenaraikan di bawah :


1. Ibu bekerjaya mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jatidiri setiap ahli keluarga terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu (dan juga bapa) dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.

2. Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami yang tidak lagi sepatutnya berada di takuk peranan sterotaip yang tradisional. Suami kepada seorang isteri yang bekerjaya harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Bagi ibu tunggal yang bekerjaya, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.


3. Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membentengi manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.


4. Para majikan mestilah sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Majikan yang menjaga kebajikan pekerja mereka, khususnya yang berkaitan dengan keluarga, akan diganjari dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi di kalangan pekerja yang seterusnya membuahkan produktiviti dan daya saing yang tinggi.

5. Barisan kepimpinan yang baru mengambil alih pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan paling tinggi kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing. Usaha yang serius, bersepadu dan konsisten membenteras permasalahan kronik ini hingga ke akar umbinya, mestilah dimulakan di peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara, agar segala polisi dan peraturan yang dibentuk selaras dan sejajar dengan nilai kepentingan institusi kekeluargaan. Pendek kata, sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada keluarga mestilah digantikan dengan polisi yang lebih bersifat mengawal dan mengekalkan keutuhan keluarga.

Ayuh segera letakkan keutamaan kepada institusi kekeluargaan sebelum terlambat! Sudah terlalu banyak indikator atau petunjuk dalam masyarakat kita hari ini yang membayangkan institusi kekeluargaan sebenarnya berada di ambang bahaya dan terancam.
Sempena Hari Ibu 2009, ayuh pastikan keluarga tidak akan kehilangan wanitanya dan wanita juga tidak akan mensia-siakan penghormatan menjadi tonggak keluarganya sebagai satu anugerah yang amat berharga dari Allah SWT!

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Khamis, 7 Mei 2009

Peringatan tentang pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu sebagai renungan

Orang kata aku lahir dari perut mak..
(bukan org kata...memang betul)

Bila dahaga, yang susukan aku.... mak
Bila lapar, yang suapkan aku.... mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. .. mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut.... Mak
Bila bangun tidur, aku cari.... mak
Bila nangis, orang pertama yang datang .... mak
Bila nak bermanja, aku dekati..... mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah.... mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya.... mak
Bila nakal, yang memarahi aku.... mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma.... mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah.... mak
Bila takut, yang tenangkan aku.... mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk.... mak
Aku selalu teringatkan .... mak
Bila sedih, aku mesti talipon.... mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu.... . mak
Bila bengang.. aku suka luah pada.. mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah.... mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga.... mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu.... mak
Bila ada masalah, yang paling risau.... mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku. ... mak Click Me!
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk..... mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku.... mak
Yang selalu berleter kat aku... mak
Yang selalu puji aku.... mak
Yang selalu nasihat aku.... mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk..... mak

Aku ada pasangan hidup sendiri....

Bila seronok, aku cari....pasanganku
Bila sedih, aku cari.... mak

Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada.... mak

Bila bahagia, aku peluk erat.....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat.... emakku

Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah.... mak

Bila sambut valentine... Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”

Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku

Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak talipon mak

Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan:
"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja.... bolehkah kau kirim wang untuk mak?
mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".
Berderai air mata jika kita mendengarnya. ........

Tapi kalau mak sudah tiada..... .....
MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya.....
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya...... .
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....

dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:

1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,

"Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya.