Sabtu, 13 Mac 2010

DOA .....yang dilupakan



-dipetik dari ms.langitilahi. com-
Pernahkan anda bermunajat kepada Allah, akan orang yang anda seru?
"Apalah mamat tu, aku dah ajak elok-elok, dah guna pelbagai cara, tapi dia masih buat do no je"

"Itulah dia, hati Allah tutup. Sejuta kali dah aku tegur, buat bodoh je."

"Inilah dia orang-orang yang tak dapat hidayah."

"Kita dah usaha dah tegur. Berbuih mulut. Berkali-kali tegur. Tapi tak sedar-sedar juga"

Begitulah ayat-ayat yang sering keluar daripada mulut kita, apabila kita berusaha mengajak seseorang kepada kebaikan, atau menegur kesalahannya, kemudian dia buat tidak endah, atau menghina kita semula, mempermainkan kita dan sebaliknya.

Kita rasa kecewa, lantas menyalahkan sikapnya yang buruk, yang degil untuk menerima kebenaran. Mungkin kekecewaan kita itu keluar, selepas berkali-kali berdakwah, menegur, berusaha dan dia tetap tidak berubah gaya. Maka kita menyangka dia sudah tiada harapan.

Tetapi apakah kita mendoakannya kebaikan?
Apakah kita mendoakan, agar hatinya menerima ajakan kita?

Kita sangka, kita sudah habis usaha
Kita ini suka melihat manusia pergi ke arah kebaikan. Maka kita pun berusaha mengajak ramai manusia ke arah Allah SWT, memahami agama-Nya, mendalami syariat-Nya. Kita rasa tidak redha melihat manusia tenggelam dalam jahiliyyah dan rosak dengannya.

Maka kita berusaha dengan pelbagai cara. Kita ajak orang itu dan orang ini. Ada yang terus menerima ajakan kita. Ada yang menolak, ada yang liat, ada yang memberikan pelbagai alasan. Tetapi kita tidak terus tewas. Kita berusaha.

Kita berusaha dengan cara belanja makan, kita usaha dengan cara ajak berkelah, ada masa kita hantar kepada dia e-mail nasihat, kita luang masa sembang dengan dia untuk selesaikan apa-apa masalah dia, kita bagi hadiah masa birthday dia, kita ziarah rumah dia dan 1001 cara dakwah lagi.
Tetapi dia tetap tidak mahu pergi kepada kebaikan. Ada yang lebih teruk, dia menghina pula perbuatan-perbuatan kita itu.

Waktu itu, kita sangka kita telah habis usaha.
Tetapi benarkah usaha itu terhad pada tindakan fizikal? Dan benarkah peluang untuk berusaha itu telah tertutup hanya dengan penolakan selepas melakukan usaha yang banyak?

Kita mungkin lupa untuk berdoa agar Allah membuka hatinya. Kita lupa untuk solat sunat, bermunajat agar Allah membuka jiwanya menerima ajakan kita. Kita mungkin lupa.

Sebab itu, hatinya tidak pernah terbuka.
Yang Memberi Hidayah, bukan kamu

AllahSWT berfirman:
"Sesungguhnya kamu tidak memberikan hidayah kepada sesiapa yang kamu cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang Dia sukai" Surah Al-Qasas ayat 56.

Maka, apakah kita pernah meminta kepada Tuan Kepada Hidayah? Pernahkah kita sujud dan meminta kepada-Nya untuk melapangkan jiwa orang yang kita seru?
Sesungguhnya, kita ini hanya ditugaskan untuk berusaha. Hidayah tetap di tangan Allah SWT. Maka, apakah kita telah berusaha sepenuhnya?

Doa itu sendiri merupakan salah satu usaha kita untuk menyeru manusia kepada kebaikan.
Namun kita sering terlupa. Ya, kadangkala, dalam mengajak kepada-Nya, kita boleh terlupa untuk meminta bantuan-Nya, mengadu kepada-Nya, merayu kepada-Nya.

Di sinilah kekurangan kita. Pernahkah anda terfikir?
Rasulullah SAW juga mendoakan mereka yang diseru

Kita lihat kepada susuk mulia, baginda Rasulullah SAW. Bagaimana Rasul Dakwah, Rasul Tarbiyah ini bergerak menyeru manusia. Hatta baginda, yang telah berusaha dan melalui pelbagai pengorbanan ini juga mendoakan mereka yang diseru. Walaupun, yang diseru oleh baginda itu menzaliminya.

Contoh termudah, lihat sahaja kisah baginda berdakwah kepada kaum di Taif. Baginda dibaling batu sehingga berlumuran darah. Tetapi apakah yang baginda lakukan ketika malaikat menawarkan peluang menghempap Taif dengan gunung?
"Jangan. Moga-moga dari tulang belakang mereka, muncul manusia yang beriman kepada Allah SWT"

Lihat? Nabi tidak mendoakan kehancuran untuk mereka.

Kita lihat pula bagaimana Rasulullah SAW, ketika dihimpit hebat oleh Abu Jahal dan Umar, baginda mendoakan mereka berdua agar Islam.

"Ya Allah, perkuatkanlah agama-Mu ini dengan Islamnya salah satu dari dua Umar. Umar ibn Khattab dan Amru Ibn Hisyam"
Pada satu ketika, Abu Hurairah mengadu kepada Rasulullah SAW akan keengganan kaumnya menerima Islam. Kemudian Rasulullah SAW segera berdoa:

"Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada kaum Daus(nama kaum tersebut), berikanlah petunjuk kepada kaum Daus"

Rasulullah SAW juga mendoakan Khalid Al-Walid.

Maka, adakah anda berdoa untuk manusia yang anda seru? Yang anda kata sebagai degil itu?

Penutup: Kadangkala, kita rasa kita sudah cukup berusaha

Ini adalah satu perkara yang merbahaya. Satu virus yang buruk yang mampu melemahkan tenaga seorang penyeru di atas jalan Allah SWT.
Ketahuilah, usaha untuk mengajak manusia ke jalan Allah SWT, hanya akan habis peluangnya ketika yang diseru itu mati. Bagi pihak penyeru pula, seruannya boleh dipanjangkan kepada pewaris-pewarisnya untuk diteruskan, sebagaimana kerja dakwah Rasulullah SAW yang sehingga hari ini masih diteruskan oleh kita.

Maka jangan rasa usaha kita sudah cukup. Terus kreatif dalam mengajak, terus mencari ruang dan peluang. Gunakanlah segala medan yang wujud, untuk mengajak manusia ke arah kebaikan. Gunakan Facebook anda, gunakan Yahoo Messenger anda, gunakan kerjaya anda, gunakan blog anda, gunakan akhlak anda, gunakan duit anda, gunakan masa lapang anda, gunakan jawatan anda, untuk berdakwah mengajak manusia ke arah kebenaran. Dan jangan sesekali lupa, hubungkan segala usaha anda, dengan Allah SWT, agar Dia memudahkan segala urusan kalian.

Amatlah pelik bagi seorang penyeru kebaikan, untuk mengajak manusia membuka hati mereka, sekiranya Si Penyeru itu tidak terlebih dahulu tunduk kepada Si Pembuka Hati, yakni Allah SWT, Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya.

Tiada ulasan: