Isnin, 30 November 2009
NOSTALGIA - Pengorbanan .....HIJRAH utk ISLAH
Pengalaman dialami...dengan melupakan kerjaya, untuk menJadi suri rumahtangga sepenuh masa, banyak membantu dalam melegakan tekanan di tempat kerja. Sekembali bertugas semula, membugar motivasi diri untuk berkerjaya lebih cemerlang. Pengorbanan dengan kehilangan pendapatan bukanlah isu utama...tetapi yang penting hikmah yang didapati disebalik yang tersurat dan tersirat. Masa yang dilalui amat berharga..tidak boleh dibayar dengan segunung emas!!Memang Hijrah itu ISLAH...masa untuk menambahbaik kualiti insan dalam perjalanan jauh untuk menuju ke destinasi abadi. Ruang, peluang dan kesempatan untuk bermulanya pencarian HIDAYAH ISLAM. Semoga hidayah itu terus tercurah kepada insan kerdil ini...KEPADA ENGKAU SAHAJA KUABDIKAN DIRI DAN MOHON PERTOLONGAN....TUNJUKILAH AKU JALAN YANG LURUS.
Selasa, 24 November 2009
Puasa pada 9 Zulhijjah
Re: Puasa Sunat di Bulan Dzulhijjah
« Jawab #1 pada: 04 December, 2008, 01:11:57 AM »
Soalan; apakah kelebihan berpuasa dalam bulan Zulhijjah? Apa pula kelebihan puasa hari Arafah?
Jawapan;Dari Hafsah r.a. menceritakan;أربع لم يكن يدعهن رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم صيام عاشوراء والعشر وثلاثة أيام من كل شهر والركعتين قبل الغداة
“Empat amalan yang tidak ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘ashyr (yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah), puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, at-Thabrani dan an-Nasai)Maksud al-‘Ashyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Dzulhijjah hingga hari ke sembilannya. Disunatkan puasa pada hari-hari tersebut terutamaya pada hari ke sembilan iaitu hari Arafah. Malah terdapat hadis lain yang menegaskan bahawa sepuluh hari awal Dzulhijjah adalah hari-hari paling baik untuk beramal dengan apa sahaja amal kebaikan, tidak tertumpu kepada puasa sahaja, iaitu sabda Rasulullah s.a.w.;
ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى اللَّه من هذه الأيام:يعني أيام عشر ذي الحجة
“Tidak ada hari-hari di mana mengejakan amal soleh padanya paling disukai oleh Allah dari hari-hari ini; yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
Pengembangan keluarga -- melalui ikatan perkahwinan
Musim cuti..hujung tahun, walaupun curahan hujan berlaku di seluruh kawasan, Alhamdulillah, majlis walimatul urus yang dirancang, tetap dilaksanakan biiznillah. Memenuhi undangan walimatul urus..perkara wajib dalam takwim harian yang perlu ditunaikan. Inikan pula perkahwinan anak saudara sendiri ...Anakanda Muhammad Hanan dengan pasangan pilihannya Dr Wan Salasiah. Semoga ikatan perkahwinan anakanda diberkati, mendapat petunjuk, rahmat dan rahim Allah SWT dunia dan akhirat.
Banyak hikmah menghadiri majlis keramaian, selain menjalin ikatan kekeluargaan yang lebih intim, juga berkenalan dan menjalin silaturrahim dengan ramai tetamu yang sebelum ini tidak kenali. Kekadang pertemuan tidak diduga dengan kenalan lama dan baru di majlis tersebut, dapat mengimbau nostalgia sejarah lama, di samping dapat merapatkan semula jalinan perkenalan yang hampir terputus.
Sabtu, 14 November 2009
Usrah
Bagaimana Anda Selepas Usrah?
Monday, 26 October 2009 18:39
Bila kita sama-sama melabuhkan tirai-Oleh: Hussaini
"Usrah itu dimulakan dengan Kafarah al-Majlis dan Surah al-Asr. Diakhiri dengan Surah al-Fatihah"
Begitulah tarbiyyah mengajarkan kita. Pembinaan ummah ini memerlukan lebih daripada 1 atau 2 atau 3 jam seminggu daripada seorang muslim itu. Pengorbanannya, untuk tajarrud ilallah, untuk meletakkan dalam dirinya, 100% untuk perjuangan ini, melebihi kepentingan peribadi pada setiap detik, hinggalah di saat-saat akhir itu. Hinggakan matinya juga diharapkan menguntungkan islam, seperti matinya ghulam dalam hadis ghulam ad-dakwah, tafsir kepada Surah al-Buruj.
Namun, ikhwah dan akhwat yang amat kucintai sekalian,
Tarbiyyah juga mengajar kita untuk mengikut marhalah (tahapan) perkembangan manusia dalam kita melahirkan 'full-timer muslim' itu. Ianya menuntut kita bersabar, membiarkan anak didik kita berkembang selari dengan masa, seumpama menunggu buah delima hijau bertukar warna.
Walaupun ia kelihatan sudah berseri-seri, jangan gopoh memetiknya. Terkadang, kita nampak buah delima itu sudah cukup kemerahan, terasa ingin sangat menganyangnya, merasai setiap biji delimanya, yang dibayangkan sudah merah ranum seperti kulitnya. Namun, jika kuning dan merah itu masih belum sebati di selaput luarnya, merekah di hujung kantungnya itu pun belum pasti, kita pasti akan kecewa, kerana hanya butir-butir mentah bakal menjadi santapan, tanpa kita mampu memperbaikinya kembali. Tanpa kita mampu untuk mengharapkan buah itu berkembang, menjadi buah yang kita impi-impi, mimpi-mimpikan selama ini...
Itulah yang digambarkan oleh As-Syeikh Hassan Al-Banna dalam risalahnya:
"Bukan dari golongan kami orang yang memetik buah sebelum masaknya."
Bekerja mengikut marhalah itu merupakan rahmat, dan jika sebaliknya, merupakan bala, gambaran amal yang sia-sia.
Jauh daripada bekerja mengikut konsep-konsep umum dakwah, apatah lagi mengikut keperluan marhalah ini, menyebabkan dakwah yang kita lakukan ini tidak ubah seperti majlis-majlis ilmu yang biasa. Dakwah kita yang sepatutnya penyeruan ke arah pembebasan daripada penghambaan sesama manusia ini, seringkali menjadi sekadar dakwah menyeru ke masjid. Tiada matlamat yang jelas. Tiada amal yang terarah. Tiada penguasaan bahan yang mantap. Tiada penyempurnaan dengan kemahiran bermain dengan hati-hati insani.
"Dakwah kita adalah segalanya", hanya tinggal kata-kata. Kerana akhirnya, kita hanya berusrah selama 1 jam, 2 jam atau 3 jam seminggu, tanpa merasakan ruh usrah dalam diri bermula tamatnya usrah. Kadang-kadang, apabila kita semakin tidak bersedia, kita lebih selesa jika keluar beramai-ramai dan mendirikan 'usrah makan'. Berkumpul di kedai-kedai mamak, borak-borak kosong, dan mendidik anak-anak usrah bercakap yang sia-sia. Kata mereka, "Itu lebih baik daripada tiada apa-apa". Dan kata mereka lagi, "Usrah bukan rigid dalam halaqah-halaqah itu sahaja".
Kataku,
"Benar dan salah". Benar, usrah itu tidak terbatas dalam halaqah-halaqah perbincangan itu semata-mata. Salah, kerana anda tidak akan berhasil apa-apa jika masih ingin bersenang-senang, bermalas-malasan begitu.
Hendak mengetahui hakikat usrah serta rukunnya? Mari kita bersoal jawab dengan Al-Quran:
Apa yang ingin dibincangkan dalam usrah, ya akhi?
"Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepadanya seorang rasul, (Muhammad) dari (kalangan) kamu yang membacakan ayat-ayat Kami, menyucikan kamu (Tazkirah: Tazkiyatul Nafs) dan mengajarkan kepadamu Kitab (Al-Quran: Tafsir) dan Hikmah (Sunnah: Sirah dan Hadis), serta mengajarkan apa yangbelum kamu ketahui. (Taujihat dan Musykilah)" (Al-Baqarah 2: 151)
Selepas usrah, apa yang kita harapkan kita semua rasai?
"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku."(Al-Baqarah 2: 152)
Takutnya ana, ya akhi. Jika ada masalah dalam usrah, apa yang perlu ana buat?
"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan SABAR dan SOLAT. Sungguh Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah 2: 153)
Naqib itu Ubiquitous?
Kefahaman akan pentingnya sebuah perjumpaan yang sebegitu, dengan syarat-syarat sah usrah itu, memandu kita untuk lebih berdisiplin dalam membina rijal-rijal. Sama seperti khususnya pembinaan para sahabat rasulullah, bukan bidaah yang direka-reka. Allah sudah menyediakan templatenya, kita hanya sebagai pelaksana.
Kita tahu, bahawa, setiap minggu, usrah sebegitu wajib dilaksanakan. Dan ketahuilah sahabatku, perjumpaan setiap minggu itu akan menentukan komitmen anak-anak usrah pada minggu-minggu seterusnya. Ia akan menjadi penentu keterikatan anak-anak didik dengan saff dakwah ini. Hakikat kefuturan bermula di sini, sekiranya kita hanya mampu membuatkan mereka berfikir tentang islam, semasa halaqah kecil, sementara itu sahaja.
Disinilah letaknya kelemahan usrah-usrah di sekolah, yakni usrah-usrah yang diwajibkan, tanpa mengambil kira bahawa pelajar-pelajar itu merupakan potensi-potensi ummah yang layak membuat keputusan sendiri, kita sewajarnya hanya membimbing, bukan memaksa mereka. Gagalnya usrah kita, jika sang murobbi, hanya bertaut di hati tatkala usrah. Jika sang murobbi lancsung tidak diingat mereka ketika dibaca doa rabithah. Kerana, pembinaan usrah tidak diasaskan dengan ukhuwwah islamiyyah yang menyejukkan perasaan. Aku pernah merasai kekeringan itu dahulu, yang mematikan hasratku untuk bertemu lagi dan lagi. Kita tidak sudi, jika perjumpaan kita itu mekar dengan cinta sesama saudara, yang akan melonjakkan semangat yang membara.
Sang Murobbi seharusnya menjadi umpama bakteria yang ubiquitous, berada di mana-mana sahaja. Dengan perasaan atau tanpa perasaan, mereka tidak serik-serik bertemu. Menyelesaikan permasalahan-permasalahan kecil, tindakan orang-orang bijak pandai, sebelum ia besar, lebih besar dari segala kebaikan mereka. Sang Murobbi sentiasa membakar tekad mad'u, agar mereka tidak larut dalam biah jahiliyyah, menjadi sebahagian dari penyumbang kekufuran. Berada bersama, mengingatkan mereka tentang kedamaian bersama islam, sehinggakan mereka merasakan, inilah biah dan suasana yang ingin mereka wujudkan dalam masyarakat mereka. Sudah tentunya semua ini tidak dapat dilaksana, jika taaruf tidak dilaksanakan dengan setelitinya.
Mad'u masih lagi Anonymous bagimu?
Artikel ini di sumbangkan oleh Hussaini yang mana penulis merupakan seorang penggiat dakwah di lapangan. Penulis juga merupakan salah seorang daripada ahli KONSIS Network, JIM dan beberapa institusi dakwah.
Langgan:
Catatan (Atom)